Thursday, July 21, 2005

mytheory24

mytheory

Silap dan Salah

"Saya silap". "Saya salah".

Bahasa Melayu memang sangat teliti dan dalam. Setiap perkataan yang ada walaupun mempunyai makna yang sama, tapi maksudnya berlainan.

'Silap dan salah' nampak macam adik-beradik. "Sama sajalah," kata kebanyakan orang. Sebenarnya tak. 'Silap' ditujukan kepada perbuatan tak disukai yang tidak disengajakan dan 'salah' adalah untuk perbuatan tak disukai yang disengajakan.

Apabila kita 'tersilap' dalam membuat sesuatu, ini bermakna kita secara tak berniat telah melakukannya. Bila kita 'tersalah', ini bermakna kita ada niat, kita cuba elak daripada buat, namun akhirnya kita buat juga.

Tak siapa suka pada kesilapan dan kesalahan. Sebab bila kita 'silap' dan 'salah', orang akan marah. Mungkin kes dipanjangkan sampailah boleh memutuskan ikatan persaudaraan atau persahabatan.

Bila kita buat 'silap' atau 'salah', kita pasti akan rasa tak senang hati. Kita rasa bersalah. Kita kata kat diri sendiri "kenapalah aku buat macam tu." "kan baik kalau aku buat begini-begini." Kita fikir segala macam benda dan hal yang boleh kita buat untuk tebus balik kesilapan dan kesalahan kita itu.

Kita nak semua benda jadi macam biasa. Macam masa semuanya betul saja.

Kita harap kalaulah dunia ni boleh dipusing balik. Kita jumpa dengan diri kita yang tengah buat 'silap' dan 'salah', bagitau dia yang itu tak betul. Kalau dia tak nak dengar jugak, kita belasah saja, sebab kita tahu kesannya buruk pada masa depan.

Pun begitu, 'kalau' memang tak wujud dalam dunia ni. Yang berlaku, telahpun berlaku. Baik, buruk, kenalah kita terima. Buruk yang kita buat, tak eloklah yang kita terima. Memang tu hukum tuhan. Kan tenaga itu kekal. Kan 1-1 = 0.

Jadi, nak tak nak, kita kena akui yang kita dah buat silap. Dah buat salah. Bukan saja akui pada diri sendiri, termasuk juga pada orang yang kita buat salah. Jangan nak tegakkan benang yang basah. Kalau benang tegak pun, orang semua makin benci dan meluat dengan kita.

Positifnya bila kita dah buat 'silap' dan 'salah', barulah kita sedar yang benda tu 'silap' dan 'salah'. Kalau perbuatan tu tak dilabel sebagai 'silap' dan 'salah', sampai bila-bila pun mungkin kita akan buat. Ni kita dah tahu, jadi kita akan elakkannya.

Positifnya kalau dah kita elak daripada salah dan silap, kita akan jadi betul. Bila betul, maka doanya hidup kita akan jadi lebih tenang dan lapang.

Monday, July 11, 2005

mytheory23

mytheory

Label


Kalian ke kedai. Kata ibu "Belikan Pampers untuk adik. Beli juga Colgate, Colgate rumah kita dah habis. Milo sekali. Yang dah ada ni nak licin dah."

Kata pakar ekonomi, itulah kuasa branding. Dek kerana terkenalnya suatu jenama, namanya digunakan untuk menggantikan nama sebenar produk tersebut. Minuman coklat semuanya diberi nama Milo, ubat gigi semuanya adalah Colgate.

Saya tak perlu bercakap tentang ini dengan bijak pandai seperti anda semua. Anda dah lama maklum dan jauh lebih tahu daripada saya.

Apa kata branding power ni kita tukarkan?

"Remaja sekarang memang tak patriotik" apabila ditanya sebab-sebab ramai orang tak ingat lagu Negaraku.

"Budak zaman sekarang memang kurang hajar" apabila kes buli meningkat di sekolah-sekolah.

"Orang muda memang tak pernah fikir panjang apabila orang tua runsing tentang anak-anak mereka.

..............

Bagi saya branding jenis ini jauh lebih bahaya, lebih kuat dan lebih tak logik berbanding branding Milo, Colgate atau Pampers.

Adakah mengingati lagu Negaraku lambang semangat patriotisme seseorang? Saya yakin begitu ramai orang-orang dewasa dan tua yang tak tahu lagu Negaraku. Bahkan pejuang-pejuang kemerdekaan tidak tahu lagu Negaraku.

Adakah sifat sayang pada negara hanya terhad pada remaja-remaja? Adakah hanya budak-budak, orang muda saja yang perlu menunjukkan kasih mereka pada negara. Bagaimana dengan mereka yang jauh lebih 'tahu dan berpengalaman', adakah kewajipan itu telah dialihkan?

Kes buli meningkat dan kesalahannya diletakkan pada 'remaja yang semakin kurang hajar'. Bagaimana dengan kes bunuh, rogol dan sumbang mahram yang melampau-lampau? Kesalahannya pada 'orang dewasa yang kurang hajar' tidak pula dinyatakan. Dah jadi salah semua pula.

Dewasa tiket buat apa saja tanpa had? Boleh buat dosa, kerana semuanya dah mampu masuk neraka? Mengelirukan amat.

Bagaimana pula bila seorang dewasa melakukan suatu kesalahan? Adakah mustahil apabila menjadi dewasa, kita melakukan kesalahan? Adakah menjadi dewasa bermaksud perfectionist, sempurna segala sifat, maksum?

........

Pelabelan jenis ini perlu dihentikan. Kekeliruan yang dibuat-buat ini perlu disekat. Nilai sebenar kemanusiaan perlulah diperjelas.

Semua mahu jadi dewasa bukan kerana matangnya pemikiran dan terkawalnya emosi, tapi kerana agungnya 'dewasa' itu. Jadi dewasa ertinya tak perlu minta maaf. Boleh nyatakan apa jua pendapat tanpa hirau pandangan dan perasaan orang. Boleh saja menjadi betul tanpa apa-apa ilmu, logik, malahan boleh saja menjadikan alasan kedewasaan itu untuk membela kesalahan.

Saya bukannya membenci orang dewasa. Saya cuma tidak gemar benar melihat kebodohan dan kejahilan membelenggu diri kita. Saya tak suka benar dilabel-label, hanya kerana saya 'lebih muda' daripada mereka.

Semacam itu tiket untuk menyatakan saya lebih dangkal, lebih bodoh dan wajar akur saja tanpa apa-apa kata.

Kedewasaan sepatutnya lebih meyakinkan. Yakin pada diri ditonjolkan melalui sifat mampu mengaku kesalahan. Berdolak-dalih hanyalah sifat mereka yang tidak matang dan penakut. Yakin pada diri juga dapat dilihat dengan kemampuan memberi kemaafan. Sesiapa sahaja yang dapat berfikir tahu dendam membunuh dan kemaafan menyucikan.

Pelabelan menyebabkan gagalnya manusia melihat kepada nilai individu. Sterotaip membuatkan wajah-wajah manusia jadi serupa. Orang muda memang begitu. Budak-budak macam itulah. Walhal manusia unik dan amatlah berbeza.

Sifat 'aku tahu semua' ni menyebabkan manusia makin malas nak berkenal-kenalan. Kejahatan sangka buruk sentiasa ada pada setiap manusia yang ditemui. Belum sempat berbual sapa, sudah direka-reka faktanya.

Saya ini remaja. Saya ini orang muda. Satu hari nanti saya akan digelar orang dewasa juga walaupun mungkin saya belum layak atas 'label' itu. Doanya saya mewarisi sifat kedewasaan yang benar, bukan sekadar branding power.